Isnin, 16 Mei 2016

Guru Pembina Negara Bangsa

Hari ini 16 Mei, sambutan Hari Guru mengiktiraf peranan dan jasa para guru dalam setiap kehidupan manusia.

Bermula dengan pendidikan tidak formal, sejak dari dalam rahim ibu, janin didendang dengan alunan ayat-ayat alQuran, salawat dan zikir. Pendidikan membentuk rohani sedari roh ditiup ke dalam jasad. Besar harapan si ibu agar janin yang dikandung membesar dengan rahsia kalimah memuji Allah dan Rasul.

Hadir ke dunia, gegendang telinga bayi yang masih merah, menangkap alunan azan, memberitahu si bayi, keagungan Allah Maha Pencipta. Menyahut seruan mengesakanNya.
Ibu dan ayah pemula pendidikan insan.

Meniti usia kanak-kanak, 40, 50 tahun dulu, kita diasuh, dididik, diajar macam-macam ilmu kehidupan. Tidak sekadar mengenal abc, 123. Malahan lebih besar dari itu. Penerokaan alam kehidupan. Belajar bergaul dalam masyarakat. Bermain. Berkongsi. Bertolak ansur. Saling memberi dan menerima. Berhadapan dengan kesusahan. Menyelesai konflik dan masalah. Banyak kali pembelajaran berlaku tanpa cikgu. Belajar dari alam. Belajar dengan alam.
Alam juga mendidik kita.

Aku masih ingat. Saat mula kenal abc. Saat ditunjuk 123. Berbekal papan hitam mini (kapur tak payah bawa), tiap pagi sabtu dan ahad kami berkumpul di masjid. Belajar dengan kawan-kawan. Aku tak ingat siapa yang mengajar. Tiada baju seragam. Kami belajar sambil bermain. Masa tu tak stres pun sebab takde report card day macam tadika zaman sekarang.

Menginjak usia persekolahan. Didedah dengan macam-macam ilmu. Ilmu hisab. Ilmu alam. Tawarikh. Ugama Islam. Kesihatan. Tatarakyat. Bahasa Melayu. English. Antara nama-nama ilmu yang sering bertukar bunyi untuk kekal relevan dengan perubahan global kini.

Cikgu, berperanan besar dalam tempoh 11 tahun kita bergelumang di alam persekolahan. Tidak sekadar mengajar kita membaca, mengira dan mengeja. Lebih jauh dari itu. Mereka membelai jiwa kita dengan kasih sayang. Sehingga kini dalam serba kemodenan masih lagi ada murid tahun 1 yang menangis pada hari pertama bersekolah. Malah mungkin seminggu. Cikgulah yang memujuk. Bercerita. Bernyanyi. Untuk mengalih perhatian murid. Dari rasa trauma berpisah dengan rumah masuk ke suatu dunia yang asing bagi mereka.

Tu belum lagi tengok cikgu sama-sama beratur nak beli makanan di kantin waktu rehat. Nak biasakan murid-murid dengan sistem beratur. Ada banyak lagi peranan cikgu selain dari mengajar. Tukang cuci kelas bila ada murid 'termelepas' dalam kelas. Jadi referee bila murid bergaduh. Jadi pegawai kebajikan bila ada murid tak berbelanja waktu rehat. Jadi pegawai kaunseling pada murid dan mak ayah.

Begitulah juga peranan pensyarah. Cuma bezanya mereka bergelandang dengan pelajar dewasa. Masalah tetap ada. Ujian dan cabaran tetap ada malahan lebih besar lagi. Hampir 17 tahun aku bergelumang dalam dunia pendidikan. Kerjaya yang aku sendiri pilih. Banyak suka duka, pahit manis di dalamnya. Aku tidak hanya mengajar. Malah aku juga belajar dari mereka. Kita boleh belajar dari sesiapa saja hatta dari anak kecil juga. Belajar dari pengalaman. Belajar dengan pemerhatian. Walau apa juga medium pembelajaran kita, asal ianya memberi manfaat dan ilmu yang baik, itulah guru kita.

           The world's best architect is a teacher.

   
Selamat hari guru kepada anak-anak
 Baharom dan Saidah.


Tiada ulasan: