Ahad, 26 Ogos 2012

Syawal yang indah

Syawal yang tiba
menjengah dengan pelbagai rasa
pilu mengenang yang tiada
sayu bertemu dengan yang lama tidak bersua.

Bulan nan mulia
hadir bersama hidayahNya
hati yang terluka dek kata-kata
terubat dengan deraian airmata
tiada kata yang perlu diutara
merah mata mencerita segala rasa.






Syawal kali ini
penyatuan semua hati
menceria hati dan nurani
Mak dan abah
dalam kudrat mereka yang masih berbaki.


Riuh rendah gelak ketawa
anak menantu dan cucunda
dibuang jauh segala prasangka
agar bertaup hati yang lara.













Alhamdulillah
Syawal tahun ini
dirai dengan rendah diri
melihat kemesraan di sana sini
dengan kasih sayang yang tidak bertepi.





Moga kasih sayang ini
terus tersimpul erat di sanubari.

Ahad, 29 Julai 2012

Ramadhan Kali Ini

Ramadhan datang lagi. Kesekian kalinya. Alhamdulillah aku masih diberi peluang mengecapi kehidupan dalam kesucian bulan yang mulia.

Ramadhan kali ini, rasa hidupku lebih terisi. Lebih terurus. Abah dan emak tinggal bersama kami. Kehadiran mereka di tengah kami, menyerikan hidup kami. Tiada apa yang kuharapkan dari mereka. Cukuplah sekadar jika mereka mahu tinggal bersama keluarga kami. Dapat ku jenguk sakit pening mereka. Jaga makan pakai mereka.

Namun dalam kudrat yang tidak seberapa, mak tak betah duduk diam. Masih mahu membantu di dapur menyiapkan juadah berbuka. Paling tidak menyusun atur pinggan cawan di meja. Tak banyak pinta mereka.

Dalam keuzuran memaksa diri bersuara, mak masih mahu mengusik anakku yang nakal. Mengejar keliling bilik bila Ikmal tak dengar laranganku. Adakalanya mak ketawa bila kami mengusiknya.

Abah macam biasa. Sayup-sayup dari dapur ku dengar dia sibuk menelefon anak-anaknya tentang menu berbuka. Rindu agaknya. Entahlah. Aku gagal membaca apa yang ada jauh di lubuk hati mereka.

Apapun aku bersyukur, mak dan abah mahu tinggal bersamaku dalam serba kekurangan. Aku pesan pada anak-anakku. ALLAH pilih kita untuk beri kita ganjaran pahala. Dan alhamdulillah mereka memahaminya. Sepatah kata Ikmal, 'ustazah Imal pun cakap macam tu mama. Kalau kita jaga orang tua kita, banyak pahala yang kita dapat.'

MOGA-MOGA MAK DAN ABAH AKAN TERUS BERSAMA KAMI!



Khamis, 28 Jun 2012

Dia Abahku





Abah,

Penuh visi walau tidak bersekolah tinggi.

Mahu anaknya menuntut hingga ke negeri China,
ikut sunnah Nabi katanya.

Di balik raut wajah yang garang,
tersembunyi kasih yang tiada galangnya.

Harta orang disayang, harta sendiri dijimat,
agar hidup tak melarat ,pesannya sarat.

Bangga membilang ramai cucunya,
walau kudrat hanya mampu mengagah saja.

Darinya kami belajar
menongkah halangan untuk mara,
menerima kekurangan sebagai pencabar keupayaan,
bersyukur apa yang dipunya walau cuma sementara.

Aku, kini di sini
meminjam sisi positif Abah dalam diri.