Selasa, 22 November 2011

Alahai Anak

Cuti sekolah datang lagi. Rasa lega, sebab tak perlu berkejar subuh-subuh hari menghantar anak-anak ke sekolah. Jalan pun tak sesak.

Rutin harian sedikit berubah. Sebelum ke tempat kerja, belikan sarapan untuk anak-anak. Kesian pula nak suruh kakak dengan kak lang masak sendiri. Air, tiap-tiap pagi confirm teh tarik, hasil tangan kak lang.

Anak ketiga, kak lang. Mak selalu kata, anak ketiga ni keras hati sikit. Ya, ada benarnya cakap mak. Hati saya sering tersentuh dengan kerenahnya. Protes dalam senyap. Kalau dia berbuat salah, kena approach dengan cara yang paling berhemah. Kalau tidak, dia boleh 'megun' berjam-jam.

Begitu pun, kebelakangan ini, kak lang dah makin 'dewasa'. Rajin ke dapur. Dia dah pandai menyediakan hidangan makan tengahari untuk adik-beradiknya. Samada aku akan menetapkan menunya, atau dia sendiri akan mencadangkannya.

Alhamdulillah, sekurang-kurangnya ringan sedikit tugas ku. Dan sedikit sebanyak aku memberinya peluang, menunjukkan kemahiran, dan bertanggungjawab. Cuma yang pasti, balik rumah lepas kerja, kalau nasib baik kemaslah dapur tu. Kalau tak, mak dialah yang kena kemas.

Kini aku semakin faham erti memberi kebebasan kepada anak-anak. Berikan mereka peluang membuat keputusan dan menggalas tanggungjawab.


Fatin Nur Izyani a.k.a Kak Lang

Moga anak-anakku mendapat berkat dan redha Allah sentiasa. Amin.

Rabu, 16 November 2011

Kekuatan dalam kelemahan

Cuaca redup sedari pagi. Baru sebentar Abah menelefon. Hanya bertanya, hujan kah tidak di Shah Alam. Belum sempat saya berbual lanjut, panggilan terputus.

Termangu seketika. Memikir apa sebenarnya yang ingin ditanya atau dibual oleh Abah.

Kalau Abah nak tanya apa yang kubuat pagi ini, ya jawapannya mungkin sedikit berbeza dari rutin pada hari-hari sebelumnya.

Hantar Yani ke sekolah. Jumpa gurunya. Kemudian bergegas untuk temujanji yang telah ditetapkan. Selesai bertemujanji, singgah di pejabat, sementara menunggu Yani selesai sesi persekolahan.

Mungkin Abah nak bertanya lanjut tentang temujanji saya agaknya. Apa yang boleh dikongsi dengan Abah ye? Khuatir menambah kerisauan di hatinya.

Tapi yang pasti, air mata saya tumpah juga akhirnya, walau saya telah mengingatkan diri, bertenang dan bertawakkal.



Tak tau bagaimana nak mentafsir perasaan kini. Suka, duka, lega? Cuma yang pasti, hari ini telah saya lalui. Harapannya, moga Allah mengurniakan taufik dan hidayahNya, menunjukkan saya jalan yang benar dan betul. Moga Allah memelihara hati saya dari segala prasangka, khianat dan dendam.

Ujian yang didatangkan, mendekatkan saya denganNya. Mungkin selama ini saya sering alpa dalam mengingatiNya, maka itu saya diuji. InsyaAllah, dengan kasih sayangMu ya Allah, hambaMu ini akan berusaha mendidik hati dan diri agar redha dan sentiasa bersyukur dengan apa jua pemberianMu.

Kurniakan aku kekuatan itu ya Allah.

Selasa, 8 November 2011

IDOLA

Minggu lepas, di hujung waktu bekerja, Manjae singgah di meja. Kebetulan Zarina pun ada sama.

Tak tau macamana boleh timbul isunya.

Yang saya ingat kata-kata Manjae :

"Jangan akak. Kalau akak nampak S...., sure akak nak bergambar dengan dia."

Mati-mati saya menidakkan andaian Manjae. Spontan Zarina mencelah :

"Akak pun. Rasanya taklah teruja nak bergambar dengan dia."

Kenapa? Semua orang minat dialah, Manjae mempertahan andaiannya.

Zarina pandang saya, saya pandang Zarina. Nak cari ayat paling manis, nak jawab soalan Manjae.

"Sebab idola kami bukan penyanyi", kata Zarina. Yes, itu jawapan yang paling tepat. Rupanya dalam kebisuan walau duduk bersebelahan, saya dan Zarina berkongsi pandangan dan rasa yang sama.

IDOLA. Sekarang ni sekecil usia 4 tahun, anak-anak kita terdedah dengan sangat terbuka, mencipta idola mereka sendiri. Saya juga mencipta idola saya sendiri seawal usia 7 tahun.

Saya sangat kagum melihat keazaman, ketabahan beliau melaksana kerjanya.
Saya mengagumi cara beliau menguasai keadaan.
Saya mengagumi semangat beliau melaksana tanggungjawab walau dalam serba kekurangan.

Darinya saya membina cita-cita. Ingin jadi seperti dia. Dan darinya saya mendapat inspirasi, hingga membawa saya ke tahap ini.

Saya ingin menjadi sehebat DIA. Darinya saya belajar tiada batasan unuk berjaya asalkan kita berusaha, darinya juga saya belajar membina keyakinan diri, belajar bersaing untuk menjadi yang terbaik, belajar mengenalpasti potensi diri dan tidak kenal erti putus asa.

Terima kasih Cikgu Saadiah. Cikgu inspirasi saya. Cikgu yang baik, berupaya memberi penerangan yang baik. Tetapi cikgu yang hebat, berupaya memberi penerangan yang baik, dan menjadi inspirasi kepada orang lain.

Cikgu Saadiah, terima kasih atas segalanya. Cikgu memang CIKGU YANG HEBAT.

Sebab itulah jika berpeluang menjengah sekolah lama, pasti saya akan singgah. Walau tiada siapa yang boleh disapa. Tetapi rindu hati saya terubat, walau hanya melihat bangunannya sahaja.