Khamis, 5 Mei 2016

Bukan siapa.....tapi apa?

Hari ni 5 Mei 2016 bersamaan 27 Rejab 1437H.

Sana-sini terima salam dan imej ucapan Salam Isra' Mikraj. Tak kurang juga mesej tazkirah diterima di subuh hari. Alhamdulillah berkesempatan hadir ke majlis ilmu yang dianjurkan oleh JPA dan KSK PMM.


Penceramah jemputan adalah Dr Jamnur Azhar Hj Mulkan. Tetapi oleh sebab yang tidak dapat dielakkan, majlis diteruskan oleh Ustaz Mohamad Faizal Ahmat Ketua Kursus Pengajian Islam.

Pengisian yang ringkas. Penyampaian santai.

Disentuh tentang segumpal daging yang ada dalam diri tiap manusia yakni hati. Sebelum di Isra', dada Nabi Muhammad saw dibelah dan disuci hatinya.

Hati ibarat enjin yang menggerakkan kenderaan, kata ustaz. Jika elok keadaannya maka lancarlah perjalanan kita. Tetapi jika sebaliknya berkemungkinan perjalanan kita akan terganggu atau mungkin tidak dapat diteruskan.

Begitulah pentingnya kita menjaga hati agar ianya sentiasa dalam keadaan yang suci. Bagaimana cara mensucikan hati? Dengan zikrullah.

Hati yang suci umpama pemandu kepada tiap perilaku dan butir bicara kita. Rasa syukur tiap nikmatNya, redha atas ujianNya, berbaik sangka sesama makhlukNya adalah sebahagian dari manifestasi kesucian hati.

Menyambung bicaranya, tiap laku perbuatan dan tutur bicara kita bermula dengan niat. Dan niat bertitik tolaknya di hati. Setiap niat yang baik untuk berbuat baik, di sisi Allah swt dikira sebagai amalan yang baik. Jadi, jagalah hati kita.

Sejam setengah berbicara di hadapan rakan sejawat. Adakala tersasul sepatah dua perkataan. Kerana jadi penceramah bidan terjun katanya. Walau namanya belum sebaris penceramah tersohor. Tapi ilmunya setahap mereka.

Sepatah mukaddimahnya, dalam mencari ilmu, BUKAN SIAPA yang kita lihat. TAPI APA yang disampaikan.

Salam Isra' & Mikraj 1437H.







Tiada ulasan: