Ahad, 29 Julai 2012

Ramadhan Kali Ini

Ramadhan datang lagi. Kesekian kalinya. Alhamdulillah aku masih diberi peluang mengecapi kehidupan dalam kesucian bulan yang mulia.

Ramadhan kali ini, rasa hidupku lebih terisi. Lebih terurus. Abah dan emak tinggal bersama kami. Kehadiran mereka di tengah kami, menyerikan hidup kami. Tiada apa yang kuharapkan dari mereka. Cukuplah sekadar jika mereka mahu tinggal bersama keluarga kami. Dapat ku jenguk sakit pening mereka. Jaga makan pakai mereka.

Namun dalam kudrat yang tidak seberapa, mak tak betah duduk diam. Masih mahu membantu di dapur menyiapkan juadah berbuka. Paling tidak menyusun atur pinggan cawan di meja. Tak banyak pinta mereka.

Dalam keuzuran memaksa diri bersuara, mak masih mahu mengusik anakku yang nakal. Mengejar keliling bilik bila Ikmal tak dengar laranganku. Adakalanya mak ketawa bila kami mengusiknya.

Abah macam biasa. Sayup-sayup dari dapur ku dengar dia sibuk menelefon anak-anaknya tentang menu berbuka. Rindu agaknya. Entahlah. Aku gagal membaca apa yang ada jauh di lubuk hati mereka.

Apapun aku bersyukur, mak dan abah mahu tinggal bersamaku dalam serba kekurangan. Aku pesan pada anak-anakku. ALLAH pilih kita untuk beri kita ganjaran pahala. Dan alhamdulillah mereka memahaminya. Sepatah kata Ikmal, 'ustazah Imal pun cakap macam tu mama. Kalau kita jaga orang tua kita, banyak pahala yang kita dapat.'

MOGA-MOGA MAK DAN ABAH AKAN TERUS BERSAMA KAMI!