Selasa, 31 Mei 2011

LANGKAH PERTAMA

Dalam hidup ni banyak yang kita tak pasti. Satu yang pasti, kita akan MATI. Terus hidup? Pun kita tak pasti.

Walau dalam serba 'ketidakpastian', hidup perlu diteruskan. Liku-liku jalanan perlu ditempuhi. Di kiri dan kanan sepanjang laluan, tak tahu apa yang menanti kita. Begitu juga di penghujung laluan. Sering 'kerisauan' nakal menerjah kotak fikiran, lantas mengocak ketenangan minda dan perasaan.

Setimpal dengan imbalan yang diterima dari perjawatan, tiap tugasan yang datang wajib dilaksanakan. Ungkapan yang sangat popular, SYMP. Walau perasaan ditimpa kerisauan yang tidak berpenghujung. Kenapa kena buat? Macam mana nak buat? Bila kena buat? Siapa nak buat?

Dalam kita leka bersoaljawab dengan diri, mencari klu jawapan kepada pelbagai persoalan, masa terus berlalu. Meninggalkan kita. Dan kita masih tidak berbuat apa-apa.

Di abad ini, dalam era globalisasi dan kecanggihan teknologi, pencarian ilmu sepanjang hayat adalah tanggungjawab semua. Belajar tidak hanya secara bersemuka dengan pengajar. Belajar dari buku. Belajar melalui teknologi. Belajar dari pemerhatian. Belajar dari pengalaman.

Untuk tidak terus jauh ketinggalan, redah aje laluan yang perlu kita tempuhi. Kerana acapkali dalam banyak situasi, kita tak punya banyak pilihan. Dengan ilmu, iman, amal dan takwa, insyaAllah kejayaan akan menanti kita di hujung jalan. Yang penting usaha dan tekad kita untuk memulakan langkah pertama ke arah kejayaan.
Kita tidak akan tahu apa yang menanti kita di penghujung jalan, sehinggalah kita melalui jalan-jalan tersebut dan sampai di penghujungnya. Untuk itu, kita kena mulakan langkah pertama dan tamatkan dengan sempurna hingga tiba kita di penghujung jalan. Dan lihatlah apa yang menanti kita di sana!

Tiada ulasan: