Sabtu, 10 September 2011

MAK

Pagi tadi hantar Yani ke kelas tambahan di sekolahnya, cikgu-cikgunya masih bersemangat berjuang habis-habisan mempersiapkan murid-murid menduduki UPSR minggu depan.

Balik ke rumah, saya bersenam memunggah pasu-pasu bunga, make over taman mini depan rumah. Lelah juga dibuatnya angkat pasu ni, ubah ke tempat lain, susun batu-batu kerikil. Mujur cuaca redup dan gerimis.

Jam 12 saya ke sekolah semula nak ambil Yani. Sampai di lampu trafik di simpang Politeknik, sambil queue tunggu lampu hijau, dari jauh saya terpandang seorang perempuan mendekati lepas satu kereta ke kereta yang lain, sambil menunjuk sekeping gambar, dan jarinya memegang dahi sambil mulut terkumat kamit. Fikir saya, dia mencari orang hilang. Bertanya kalau-kalau ada sesiapa ternampak orang dalam gambar tersebut.

Saya tunggu dia mendekati kereta saya. Lampu dah bertukar hijau. Melepasinya saya memperlahankan kereta, berkongsi rezeki yang ada sambil mata saya mencuri pandang gambar yang dipegangnya. Rupanya gambar seorang anak lelaki, yang cacat, bertongkat. Rasa saya akibat penyakit saraf.

Allahhuakbar. Saya insaf sendiri. Itulah ibu, mak, mama, ummi dan apa jua panggilan dan gelaran yang setara dengannya. Hilang rasa malu. Tolak ke tepi penat dan bahayanya dia menyusuri jalan-jalan. Demi seorang anak.

Terkenang  mak di kampung.

Waktu saya melahirkan anak sulung, mak sanggup menumpang di surau hospital menunggu saya dari malam membawa ke pagi, hingga saya selamat melahirkan.

Tahun pertama saya di UKM, dengan berbekalkan duit biasiswa sahaja (selepas berhenti kerja untuk sambung belajar), saya tak memikirkan perlunya saya berbaju baru di hari raya. Tapi sebak di hati Allah saja yang tahu, bila balik ke kampung, mak menyerahkan sepasang baju kurung yang dah siap berjahit.

Satu pagi anak sulung saya merengek nak makan cucur udang, tapi tak nak campur bawang atau sayur. Saya buatkan. Sedang leka menggoreng cucur tersebut, tiba-tiba ia meletup. Dan minyak panasnya mendarat ke serata muka saya.

Mak, yang ketika itu sedang berada di bilik air membasuh kain, berlari tanpa memikirkan dirinya terjatuh, mendapatkan saya, mengelap muka saya dan menyapu minyak gamat ke serata muka. Katanya takut berparut, nanti nak mengajar muka dah cacat, anak murid pun takut tengok muka pensyarahnya (masa tu saya sedang belajar di ITTHO dalam sarjana pendidikan). Bergenang airmata saya. Begitu sekali prihatinnya mak pada saya.

Hari ini, mak masih mak yang dulu. Penuh prihatin walau dalam serba tidak upaya. Masih berusaha menggagahkan diri menjenguk ke dapur untuk memasak sejenis dua hidangan untuk anak cucu, walau kami semua melarangnya.

Masih tetap mencuri-curi  melihat anak cucunya dalam gelap, yang tidur bergelimpangan di serata rumah bila semua serentak balik pada hari raya. Berselimut ke tidak? Cukup tidak bantalnya?

Puas dipujuk, agar mahu tinggal bersama anak-anak, mak tetap dengan dirinya. Betah tinggal di kampung. Tak usah risau, katanya. Tapi pagi saya nak pulang ke rumah selepas cuti hari raya, mendapatkan mak, mencium tangan dan pipinya, menitis airmatanya sambil tersedu. Tak terbaca saya gelora hatinya. Sementelah mak tidak berupaya lagi bersuara seperti dulu.

Mak, saya sayang mak. Saya rindu nak dengar suara mak macam dulu.


Tiada ulasan: