Sabtu, 22 Oktober 2011

Pelan Kecemasan

Rasa sunyi je 2, 3 minggu kebelakangan ni. Walau riuh di sekeliling, tetap rasa sunyi.

Ruang hati sedikit kosong bila Kak Yus berangkat ke tanah suci. Lama pulak tu. Jadi rutin harian di pejabat sedikit tersasar. Selalu 1/2 jam lepas clock in, wajah Kak Yus akan terpacul di depan muka. Sejuk hati memandang wajahnya yang tak pernah kering dengan senyuman, dan tak pernah lekang dengan bicara yang menyejukkan jiwa.

So, jadilah saya seorang yang sedikit 'beku', tak tau nak sembang dengan siapa. Sementelah rakan-rakan seunit semuanya senior plus jejaka Malaya. Ada tidak, Zarina di sebelah meja. Pun tak banyak yang boleh dibualkan.

Terubat sedikit sunyi bila dapat contact semula kawan-kawan lama. Bertanya khabar selepas 34 tahun terpisah. Masing-masing dah ada kehidupan sendiri. Lucu bila seorang kawan beritahu, dia lambat balas sms saya sebab terperanjat, tak sangka saya akan sms dia. Takut saya tersalah hantar.

Katanya saya ni tak berapa nak ambil port hal orang. Masa sekolah dulu dia segan nak rapat sebab saya duduk dalam kelas saya yang tersendiri. Saya pun terfikir, eh! bukan kami classmates ke? So tentulah duduk dalam kelas yang sama.

Dia kata saya pandai sangat. Selalu tak kesah hal orang lain. Serius aje dalam kelas. Kalau orang usik-usik pun, bolayan aje.

Ha! ha! Kelakar pulak bila ingat balik. Agaknya memang saya dilahirkan sebegitu sifatnya. Tambah dibentuk dengan acuan yang dicipta emak sepanjang tempoh membesar. Selaku anak perempuan sulung dan tunggal, mak mencerna sifat-sifat saya sebagaimana yang dirasakannya betul dan munasabah. Belajar memasak, bantu urus adik-adik, selesai masalah sendiri. Pendek kata, saya tersangat berdikari sejak kecil.

Tapi peluang bertemu rakan-rakan lama, membuka jendela pemikiran konvensional saya. Walaupun kerjaya mereka turut menuntut mereka berfikir dengan serius, tapi mereka tetap mencari peluang, mencipta keseronokan hidup sesuai dengan usia kini.

Pergi kelas memasak, belajar menjahit. Yang lelakinya memancing. Live life simple, to the fullest, kata mereka. Jangan over stress, jangan over do. Masing-masing dah ada target, bila capai usia emas ni, dah ada plan nak buat bisnes apa, nak buat aktiviti apa.

Well, Haniza you have none. Tapi saya sejukkan hati saya, I love my job now very much. Saya menyimpan cita-cita ini seawal di sekolah tadika lagi. Dan saya tak pernah rasa bosan, berjumpa dengan pelajar yang bermacam kerenah. Saya belajar banyak perkara. Sehingga kadang-kadang terlupa yang saya harus menggembirakan hati sendiri.

Tak pernah terfikir nak join bisnes. Takut nanti sendiri yang kena beli barang yang dijual sebab tak pandai nak pujuk orang beli. Nak ada hobi masa lapang? Ada, tanam bunga. Tapi sepatah kata mak saya, tak tau la berapa panjang umur bunga tu esok!

Entahlah. Harap-harap rasa gembira datang bekerja tidak akan luntur ditelan masa. Kalau itu berlaku, saya rasa hidup saya akan serabut. Sebab saya tak ada pelan kecemasan untuk itu!

Tiada ulasan: