Selasa, 25 Oktober 2011

CINTA DAN KECINTAAN

Banyak cinta perkara cinta. Pelbagai juga tafsiran diberi padanya. Tak kurang berbezanya fahaman antara manusia.

Cinta pada diri sendiri, cintakan harta, cinta pada anak-anak, cinta keluarga. Biasa kita dengar. Yang jarang disebut dan terucapkan mungkin, cintakan ilmu.

Mendengar celoteh dan bicara Prof KJ dari UPM yang diundang khas untuk berkongsi ilmu dalam penulisan ilmiah, jelas terbias rasa cintanya yang mendalam terhadap ilmu. Ketara benar di rona wajah betapa kecintaannya terhadap penerokaan ilmu tidak berbatasan.





Walau sudah berada di posisi yang sangat membanggakan, yang sering menjadi dambaan para ilmuwan, yang sewajarnya tidak bisa digoyahkan oleh sesiapa, yang membolehkan beliau 'berehat' seketika dari visi meneroka dan mencipta, namun rasa kecintaannya yang membara tidak menghadkan perjalanannya.

Penuh hemah teguran dilontar. Penuh karisma ilmu dikongsi. Dalam slanga 'orang sebelah sana', beliau berjaya menjadikan sehari berkursus penuh penghayatan dalam gelak tawa (yang tanpa sedar sebenarnya menggelakkan diri sendiri atas 'kecuaian' dek kerana belum berilmu!). Natijahnya, ramai teruja untuk memulakan langkah pertama, menghasilkan penulisan ilmiah, dalam pelbagai medium dan 'genre'! Mudah-mudahan kobaran semangat ini bakal terus membara dan menyala sepanjang usia perkhidmatan. Sepatah kata Prof, jadikan penulisan ini satu budaya dalam kalangan pendidik. Bukan semata untuk kenaikan pangkat.

Rasa cintanya yang mendalam terhadap 'mereka' yang amat dekat dengannya dikongsi di layar ilmu. Saya belum pernah melihat penceramah yang menyediakan bahan penyampaian berlatarbelakangkan gambar-gambar peribadi orang-orang yang mereka sayangi. Betapa penghargaannya kepada semua yang memberi makna dalam hidupnya dikongsi bersama khalayak dengan penuh rasa bangga.

Mudah-mudahan nurani saya juga ditiupkan dengan rasa kecintaan sebegitu! InsyaAllah.

Tiada ulasan: