Isnin, 15 September 2014

Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta

Hari ini, sehari lagi, sebelum Malaysia menyambut ulangtahun Penubuhan Malaysia yang ke 51. Dan kita masih lagi meraikan sambutan kemerdekaan Malaysia ke 57.

Tema sambutan kemerdekaan Malaysia tahun ini, Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta.  Harapnya menyentuh dan menggamit rasa semua rakyat Malaysia, yang cintakan negaranya.

Cinta yang membawa pelbagai pengertian dan maksud.

Cintakan Negara. Cintakan keamanan yang dikecapi kini. Cintakan perpaduan yang menyatukan kita semua sebagai satu bangsa yang merdeka, jiwa dan minda.

Tema ini, Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta, menggamit saya mengimbau kenangan zaman kanak-kanak yang sangat membahagiakan.

Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang, Batang Berjuntai ( sekarang dikenali dengan nama Bestari Jaya).

Sekolah di mana kami mula mengenal cinta. Cinta sesama rakan, cinta antara kaum.

Tahun 1974 saya menjejakkan kaki di sekolah ini. Sekolah luar bandar, yang sangat sederhana, dengan dua blok setingkat dan sebuah bangunan balairaya dijadikan bilik darjah.

Di sini kami diajar ABC, di sini kami diajar 123, di sini kami diajar mengeja, membaca dan mengira. Masih terbayang-bayang peralatan dalam bilik darjah - meja kerusi kayu, papan hitam dan kapur berwarna-warni, pembaris kayu panjang yang digunakan oleh cikgu. Dan papan hitam mini yang dibawa oleh murid setiap hari ke sekolah.

Di sini juga, kami di ajar nilai cinta dan kasih sayang sesama manusia, tanpa mengira pangkat dan darjat, tanpa menilai warna kulit dan bangsa. Semua kami adalah sama.

Tiada kempen, tiada sepanduk, tiada program khusus dijalankan untuk menyemai rasa cinta antara kami. Semuanya berlaku secara semulajadi.

Cikgu tugasnya mendidik kami, mengajar kami membaca, mengajar kami mengira. Set induksi tak dirancang. Berlaku secara spontan. Melalui kata nasihat dan contoh teladan yang ditunjukkan.

Cikgu Saadiah, cikgu kelas 1 Rajin. Sangat garang dan tegas. Sementara nak habis darjah satu, kami bertukar-tukar ketua darjah sebanyak 40 kali, sehingga beliau berpuas hati.

Alam kanak-kanak mananya tahu nak duduk diam. Bila cikgu sibuk dengan kerja menanda latihan murid, murid pulak sibuk dengan aktiviti mereka. Bising, tak duduk diam, mengacau kawan dan macam-macam lagi. Sudahnya kena ikat di kaki meja cikgu.

Setiap hari ada sesi mengeja orang putih atau spelling sebelum tamat sesi sekolah hari itu. Semua kena berdiri atas kerusi. Kalau betul jawab, boleh balik cepat. Kalau tak maknanya kena tinggal dek bas sekolahlah jawabnya. Kerana takut balik lewat, saya berusaha belajar English dengan abang yang masa tu dalam darjah 3. Dan sejak itu saya faham bahawa saya boleh jadi pandai kalau saya berusaha.

Cikgu Faridah - cikgu yang cantik, suka menyanyi. Lagu kegemarannya lagu dendangan A.Ramlie dan Maria Bachok. Suaranya sedap. Dan rakan duetnya dah tentu Badrul Hisam, pelajar kelas Tekun yang merupakan pesaing kuat saya dalam pelajaran. Tapi dia tu aksyen sikit. Sebab Cikgu Faridah sayang kat dia, dan dia pandai.

Kawan-kawan sekelas di SKRP adalah rakan-rakan terbaik yang saya pernah ada. Semua kami adalah sama. Latarbelakang ekonomi keluarga yang lebih kurang sama. Anak pelombong bijih, anak pekerja estet.

Kami pergi sekolah naik bas. Mula-mula tu naik bas Len, bas awam. Lepas tu baru ada bas sekolah. Macam-macam warna.  Seingat saya, saya naik bas warna hijau nombor plet BAU. Abang driver masa tu memang baik. Tak lupa nyonya yang jadi konduktor bas. Disebabkan kami jarang dapat naik bas kecuali ke sekolah, kadang-kadang kami (saya, Yan dan adiknya Aziah) akan siap cepat-cepat, tunggu bas dan ikut bas tu pergi Sg. Tinggi dan Pacific Tin. Lepas tu baru pergi sekolah.

Pacific Tin, Sungai Tinggi, Bukit Minyak, Padang Pasir, Kg. Rantau Panjang - itulah tempat tinggal kami. Kehidupan kami penuh dengan adventure. Hari sabtu dan ahad adalah hari penerokaan alam semulajadi.

Saya masih ingat aktiviti wajib hujung minggu bersama anak jiran - Norlian, Kak Ijah, Kak Ina. Kami duduk bawah pokok kelapa sawit tepi rumah, kutip buah kelapa sawit yang gugur, rebus dan makan. Memang sedap. Lazat dan berkrim.

Tak pun, kami masuk hutan getah seberang jalan. Cari kayu getah. Atau kalau malam tu hujan, esoknya kami berebut cari cendawan. Takpun kutip getah sekrap buat nyala api, maklum masa tu masih lagi masak guna dapur kayu. Kalau takde minyak gas, kenalah guna getah sekrap.

Selalu juga pergi berendam kat parit tepi rumah dan tepi jalan. Menyodok anak-anak ikan di celah-celah lumut yang hijau. Tak senang duduk anak-anak ikan tu kalau tiba hujung minggu. Ada sekali tu sambil tunggu bas sekolah, sempat lagi saya buka kasut, stoking dan masuk dalam parit nak tangkap anak ikan. Sedar-sedar mak kat belakang bawa rotan. Kena juga selibas dua kat betis. Dan sepanjang hari tu saya diejek oleh kawan-kawan di sekolah.

Lagi adventure kalau abah suruh pegi kedai. Jauh jugak dari rumah. tapi kedai tu dekat dengan kapal bijih. So ada banyak bukit bijih. Saja je lalu situ dan panjat atas bukit tu. Merasale pegang bijih dan amang.

Masa tu kami tak pernah stres pun pasal nak dapat 5A. Yang kami tahu, datang sekolah belajar dan main. Waktu pj memang ditunggu sebab boleh bebas main di padang. Tapi permainannya tak lain tak bukan - gelek gelung rotan, baling buntil beras. Baju senaman - t shirt putih, seluar pendek. Memang colonial sungguh. Awal tahun, cikgu dah kutip duit, beli t-shirt putih untuk baju sukan. Siap tulis nama dan kelas dengan pen marker. Akan ada sesi mencelup baju ikut rumah sukan. Biasanya abang-abang dan kakak-kakak yang akan tolong cikgu buat kerja tu. Lepas celup, sidai di sepanjang pagar sekolah.

Belanja sekolah cuma masa tu cuma 20 sen. Air 5 sen, nasi atau mihun 10 sen. Sekolah pulak sediakan makanan percuma program AMP - Amalan Makanan Pemakanan. Kalau sekolah petang, masuk kelas aje makan free dulu. Nasi putih, sambal tumis dengan kacang gorang. Sedap.

Kawan-kawan ? Ada yang okey, ada yang tak. Seingat saya, tak ramai yang nak kawan dengan saya. Che Paridah - sebab kakak dia kawin dengan pak cik saya, so terpaksalah kawan dengan saya. Azizah Sapuan - rasanya masa tu memang anti kat saya. Mungkin sebab saya selalu periksa no. 1, so dia jeles sikit. Sharifah Azura - dia macam timing sikit sebab dia cantik, anak Syed lagi. Norliza Idrus pun sama. Saya rasa mungkin sebab kedudukan ekonomi keluarga mereka lebih baik sikit dari keluarga saya. Dan sebab itu jugalah mereka tak ingat saya masa berjumpa di majlis reunion Februari lepas. Kalau ada pun kawan yang rapat dengan saya - Alizah. Tapi itu mungkin perasaan zaman kanak-kanak saya saja.

Kawan-kawan lelaki - Rizal, kawan gaduh saya sebab dia selalu ejek saya kat rumah. Dan pernah sekali dia mengamuk dalam kelas sebab katanya cikgu lebih sayangkan saya. Sabaruddin - yang paling kenit dalam kelas. Tapi kenit-kenit dia, lari laju. Tiap kali rehat kami tarik kerusi keluar kelas, buat bulatan. Bekal yang kami bawa akan di pas keliling bulatan, makan sama-sama, Sabaruddin selalu volunteer pergi beli air kat kantin. Mencicit aje larinya.

Ismadi - budak nerd (istilah sekarang). Rambut berminyak sentiasa, selalu dijadikan contoh masa pelajaran Kesihatan.  Yang paling tinggi Norman dan Megat. Megat - paling cool dan macam abang-abang sikit. Rasanya sampai sekarang sifat itu kekal dalam dirinya. Johar - hansem dan adik-adik dia Johan dan Jora pun hansem dan cantik. Saya selalu suka tengok muka dia sebab dia sangat cool. Razali, Karim, Yusof, Roslan, terbayang-bayang wajah kawan-kawan ni.

Waktu tengahari lepas habis sekolah, kami berlumba-lumba keluar kelas dan cop letak beg dulu. Boleh bayangkan beg berbaris sebagai ganti tuannya yang nak pergi main. Terlompat-lompat main ten-ten. Bila bas datang, automatik kami akan berbaris ikut susunan beg tadi. Tak perlu cikgu atau jaga untuk pastikan kami berbaris.

Alangkah manisnya zaman kanak-kanak. Di sini saya belajar erti hidup. Di sini saya mengenal erti kepayahan. Di sini saya mengerti erti kejayaan. Di sini saya mengecap nikmat kehidupan.



Kalau ditanya di mana cinta saya bersemi, jawab saya - di sini.

Di Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang.
Saya rindu segalanya yang ada di sini.


 
 Darjah 3 Rajin 1976

1 ulasan:

Megat berkata...

teeeeriiiimaaa kaaasiiiihh ceeeekkgu.. :)